
MEXICO CITY: Mexico pada Selasa mengecam tindakan pengenaan tarif 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum menyatakan bahawa tiada justifikasi bagi pengenaan tarif berkenaan oleh Presiden AS, Donald Trump, terhadap import dari Mexico.
Beliau juga menegaskan bahawa Mexico akan memberi tindak balas melalui langkah-langkah tarif dan bukan tarif.
“Tiada pihak yang untung dengan keputusan ini. Sebaliknya, ia memberi kesan negatif kepada rakyat yang kami wakili,” kata Sheinbaum dalam sidang akhbar rutin.
Tindakan tarif yang diumumkan oleh Trump berkuat kuasa pada jam 12:01 pagi waktu Washington, setelah tempoh 30 hari pertama yang digunakan oleh pegawai Mexico untuk berunding dengan Washington serta meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan AS-Mexico.
Pada Isnin, Trump mengisytiharkan bahawa Mexico, bersama dengan Kanada dan China, gagal mengambil langkah yang mencukupi untuk mengekang aliran fentanyl ke AS.
Sheinbaum menegaskan bahawa Mexico telah bekerjasama dengan AS dalam hal-hal berkaitan migrasi, keselamatan, dan pemberantasan penyeludupan dadah.
Beliau juga menyatakan bahawa maklumat lanjut mengenai respons selanjutnya dari pihak Mexico, termasuk tindakan tarif balas, akan diumumkan pada Ahad ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.