comscore
Tumpuan :
Dunia

Mexico, Chile gesa ICC siasat perang Israel-Palestin

Penunjuk perasan pro-Palestin berkumpul di luar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menuntut keadilan bagi penduduk Palestin den menggesa Israel diheret ke muka pengadilan, di The Hague, Belanda. – Foto REUTERS

MEXICO CITY: Mexico dan Chile semalam menggesa Israel diheret ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), langkah sama diambil Afrika Selatan terhadap rejim itu atas tuduhan genosid ke atas penduduk Palestin.

Menurut Kementerian Luar Mexico, tindakan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap keganasan semakin melampau Israel yang menyasarkan orang awam, dan dakwaan jenayah berterusan, yang termaktub di bawah bidang kuasa mahkamah.

“Dakwaan jenayah itu khususnya berlaku sejak serangan 7 Oktober lalu dan permusuhan seterusnya di Gaza,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Chile, Alberto van Klaveren pula menyatakan negara itu menyokong penyiasatan terhadap sebarang kemungkinan jenayah perang.

“Ia sama ada jenayah perang yang dilakukan oleh Israel atau Palestin,” katanya pada sidang akhbar di Santiago.

Tindakan dua negara itu menyusuli gesaan Afrika Selatan, Bangladesh, Bolivia, Comoros dan Djibouti untuk siasatan ICJ terhadap konflik antara Palestin dan Israel, walaupun ia bukan ahli ICJ.

Sebelum ini, ICJ membuka siasatan ke atas Israel serta Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin lain bagi dakwaan jenayah perang di wilayah Palestin pada 2021.

November lalu, pendakwaraya ICC, Karim Khan berkata, siasatan kini ditingkatkan kepada peningkatan permusuhan dan keganasan sejak serangan yang berlaku pada 7 Oktober lalu.

Peperangan yang sudah melebihi 100 hari itu memusnahkan Gaza susulan pejuang Hamas melancarkan serangan yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang.

Kementerian Kesihatan Gaza pula memaklumkan, Israel kemudiannya melakukan serangan udara dan darat yang membunuh lebih 24,600 rakyat Palestin, kira-kira 70 peratus daripada mereka wanita dan kanak-kanak. – AGENSI

Loading...
Terkini