comscore
Tumpuan :
Dunia

Mexico bersedia lindungi pendatang dalam menghadapi pengusiran AS – Presiden

Foto fail Reuters

MEXICO CITY: Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pada Khamis menyuarakan kesediaan untuk kemungkinan pengusiran besar-besaran pendatang oleh Amerika Syarikat (AS), yang menurut Presiden Terpilih AS Donald Trump akan berlaku sebaik sahaja beliau memegang jawatan, lapor Xinhua.

“Sekiranya berlaku pengusiran, kami akan menerima warga Mexico, dan kami sudah mempunyai rancangan untuk itu,” kata Sheinbaum dalam sidang media.

Beliau turut menyatakan rasa tidak setuju terhadap tindakan memperlakukan pendatang seperti penjenayah, sambil menegaskan bahawa “institusi keadilan wujud di seluruh dunia” untuk melindungi hak asasi manusia.

Sheinbaum berkata kerajaan sedang mengukuhkan rangkaian konsulat Mexico di Amerika Syarikat bagi melindungi migran yang berisiko diusir.

Dalam beberapa hari akan datang, Sheinbaum akan bertemu kabinetnya untuk mengkaji isu-isu dua hala yang perlu dibincangkan dengan pasukan Trump, termasuk isu imigresen, keselamatan, perdagangan, dan perjanjian perdagangan bebas antara Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada.

Trump, yang akan mengangkat sumpah pada 20 Jan 2025, mengancam untuk memperketatkan langkah-langkah bagi menghentikan aliran pendatang tanpa izin di sepanjang sempadan AS-Mexico. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini