WASHINGTON: Meta bersetuju membayar Presiden Donald Trump AS$25 juta (RM109.87 juta) bagi menyelesaikan tuntutan mahkamah 2021 yang mendakwa kenyataan beliau ‘ditapis’ secara salah oleh Facebook dan Instagram selepas rusuhan Capitol AS.
Wall Street Journal melaporkan penyelesaian itu sebagai kemenangan buat Trump, dengan AS$22 juta (RM97 juta) diperuntukkan untuk membiayai perpustakaan presiden masa depannya, manakala selebihnya meliputi yuran guaman dan plaintif lain.
Meta dalam penyelesaian itu tidak mengakui sebarang kesalahan berhubung penggantungan akaun Trump, dan jurucakap syarikat mengesahkan perkara itu kepada AFP.
Trump sebelum ini lantang mengkritik platform media sosial kerana menggantung akaunnya selepas pemberontakan 6 Januari 2021, apabila komen beliau dilihat seolah-olah memuji tindakan penyokongnya.
Namun, kebelakangan ini, beliau dilihat ‘memikat’ tokoh teknologi seperti Zuckerberg dan pemilik X, Elon Musk, yang turut menghadiri majlis angkat sumpah Presiden di Washington minggu lalu.
Zuckerberg bahkan mengubah dasar Meta dengan menarik balik sekatan ke atas beberapa kandungan dalam aplikasi syarikat itu, termasuk Facebook, Instagram, Threads dan WhatsApp.
Penyelesaian itu menjadi langkah strategik ketika syarikat media bersiap sedia menghadapi kemungkinan penggal kedua pentadbiran Trump, dengan Meta turut melaporkan lonjakan pendapatan bersih sebanyak 59 peratus kepada AS$62.36 bilion (RM274.07 bilion) tahun lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.