WASHINGTON: Syarikat Meta akan mengenakan langkah keselamatan baharu ke atas akaun pengguna remaja untuk melindungi mereka daripada kandungan yang tidak bersesuaian dengan umur untuk hasil carian serta explore page di Facebook dan Instagram.
Pengguna remaja juga akan diminta untuk mengemas kini tetapan privasi mereka, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Platform media sosial itu akan mengalih keluar kandungan mengenai bunuh diri, gangguan makan dan mencederakan diri sendiri dengan sengaja daripada akaun pengguna remaja di Facebook dan Instagram, meskipun kandungan itu dikongsi oleh pengguna yang mereka ikuti.
Menurut Meta walaupun kandungan ‘mencederakan diri sendiri dengan sengaja’ boleh membantu mengurangkan stigma berhubung isu ini, namun ia adalah topik yang agak rumit dan tidak sesuai untuk semua golongan muda.
Meta turut akan menyembunyikan hasil yang berkaitan dan seterusnya mengubah hala carian ke talian bantuan atau sumber lain untuk pengguna mendapatkan bantuan. — BERNAMA-QNA