Tumpuan :
Dunia

Mesir tubuhkan syarikat induk baharu Terusan Suez untuk tingkatkan ekonomi

FOTO: Reuters

KAHERAH: Kabinet Mesir pada mesyuaratnya meluluskan penubuhan syarikat induk baharu Terusan Suez untuk mengawal dua syarikat kerajaan milik Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA), menurut Kabinet dalam satu kenyataan pada Rabu.

Xinhua melaporkan syarikat baharu itu, Suez Canal Holding Company for Industries and Naval Services and Investments, yang akan beribu pejabat di bandar Ismailia, akan tertakluk kepada peruntukan dan peraturan sektor perniagaan awam.

Menurut keputusan itu, syarikat baharu itu akan mengambil alih dua syarikat yang sebelum ini dikendalikan oleh SCA iaitu Syarikat Canal Mooring & Lights dan Port Said Engineering Works & Marine Constructions Company, sebagai anak syarikat.

Menurut kenyataan itu, syarikat induk berkenaan ditubuhkan untuk meningkatkan aktiviti perindustrian dan komersial berkaitan maritim termasuk berkaitan pembinaan, pembaikan dan ubah suai kapal.

Syarikat baharu berkenaan boleh menubuhkan anak syarikat lain tetapi penubuhan, tempoh dan tujuannya mesti diputuskan oleh pengerusi SCA.

Terusan Suez adalah antara sumber utama pendapatan negara dan mata wang utama Mesir.

Menghubungkan Laut Mediterranean dan Laut Merah, terusan buatan manusia adalah talian hayat utama perdagangan laut global, dengan kira-kira 12 peratus daripada jumlah perdagangan dunia melaluinya. – BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini