ISTANBUL: Mesir akan menganjurkan sidang kemuncak mengenai Sudan pada 13 Julai untuk membincangkan usaha bagi menamatkan konflik yang melanda negara itu.
Sudan sedang bergelut dengan konflik akibat pertelingkahan antara tentera dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces yang mula tercetus sejak April lalu.
Hampir 3,000 orang awam telah terbunuh dan beribu-ribu cedera akibat konflik itu, menurut pegawai perubatan tempatan.
Beberapa perjanjian gencatan senjata yang diuruskan oleh pengantara Arab Saudi dan Amerika Syarikat dilihat gagal menamatkan keganasan.
Presiden Mesir dalam satu kenyataan berkata, sidang kemuncak itu akan membincangkan bagi mencari jalan menamatkan konflik dan kesannya terhadap negara jiran, lapor Agensi Anadolu. Sidang kemuncak itu bertujuan bagi menetapkan rangka kerja yang berkesan untuk menyelesaikan krisis secara aman dengan kerjasama rantaian serantau dan antarabangsa yang lain.
Penganjuran sidang kemuncak itu hasil “kesungguhan Presiden Abdel-Fattah Al-Sisi untuk merumuskan visi bersama bagi negara-negara jiran Sudan”. Sisi juga berminat untuk mengambil langkah menyelesaikan krisis, menamatkan pertumpahan darah dalam kalangan rakyat dan membantu mengurangkan kesan yang mereka hadapi.
Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) menganggarkan bahawa hampir tiga juta orang hilang tempat tinggal akibat konflik itu. – BERNAMA- AGENSI ANADOLU