Tumpuan :
Dunia

Menteri Pengangkutan Korea Selatan bakal letak jawatan susulan nahas Jeju Air

SEJONG: Menteri Pengangkutan Korea Selatan, Park Sang-woo, menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan susulan nahas pesawat Boeing 737-800 milik Jeju Air yang meragut 179 nyawa pada 29 Disember lalu.

Park dalam satu sidang media khas berkata beliau memikul tanggungjawab yang besar susulan tragedi itu dan berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya sebelum memilih masa yang tepat untuk melepaskan jawatannya.

Beliau turut mengumumkan rancangan mempercepat penambahbaikan sistem pendaratan lapangan terbang, khususnya ‘localiser’ yang dianggap menjadi salah satu faktor penyumbang kepada nahas tersebut.

Bulan lalu, Pesawat Jeju Air penerbangan 7C2216, berlepas dari Bangkok ke Muan di barat daya Korea Selatan, terhempas selepas gagal mendarat dengan sempurna.

Pesawat itu meluncur keluar dari landasan, terbakar selepas melanggar tembok berhampiran di hujung landasan.

Dalam pada itu, Park turut mengesahkan bahawa data perakam suara kokpit telah diekstrak, manakala perakam data penerbangan yang rosak telah dihantar ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.

Park juga berkata pihaknya akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan keselamatan dan meningkatkan keyakinan orang awam terhadap industri penerbangan republik itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini