TOKYO: Menteri Luar Jepun Yoshimasa Hayashi membuat lawatan mengejut ke Ukraine bagi menzahirkan sokongan kepada Kyiv dalam perjuangannya menentang Rusia, menurut kementerian itu pada Sabtu.
Jepun menyertai Barat dalam menyokong Ukraine dan mengenakan sekatan ke atas Rusia.
Ia merupakan lawatan pertama menteri luar Jepun ke Ukraine sejak Moscow melancarkan operasi ketenteraan berskala penuh pada Februari 2022, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Hayashi dijadual bertemu rakan sejawatannya dari Ukraine Dmytro Kuleba pada Sabtu dan mengemukakan rancangan Jepun untuk persidangan mempromosikan pembinaan semula ekonomi Ukraine, dijangka berlangsung lewat tahun ini atau awal tahun depan.
Hayashi ditemani wakil perniagaan Jepun semasa lawatannya ke Ukraine, menurut Kementerian Luar.
Beliau telah berkunjung ke Jordan, Mesir, Arab Saudi dan Poland pada awal minggu ini untuk bertemu dengan rakan sejawatannya dan perdana menteri negara berkenaan.
Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida sebelum ini telah melakukan lawatan mengejut ke Kiev pada Mac sebelum sidang kemuncak G7 di Hiroshima. – BERNAMA-dpa