Tumpuan :
Dunia

Menteri Kewangan Korea Selatan dilantik pemangku presiden

Pemangku Presiden Korea Selatan, Timbalan Perdana Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Kewangan Choi Sang-mok mempengerusikan Majlis Keselamatan Negara di kompleks kerajaan di Seoul, Korea Selatan. – FOTO: Reuters

SEOUL: Menteri Kewangan Korea Selatan, Choi Sang-mok, akan memulakan tugasnya sebagai pemangku presiden pada Jumaat selepas Parlimen yang dikuasai pembangkang meluluskan usul untuk melakukan pendakwaan ke atas Pemangku Presiden Han Duck-soo, menurut pejabatnya seperti dilaporkan agensi berita Yonhap.

Choi yang juga Timbalan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Ekonomi, mengambil alih tugas itu susulan penggantungan Han, kurang dua minggu selepas beliau menggantikan Presiden Yoon Suk Yeol pada 14 Disember lalu, yang turut dilucutkan jawatan kerana kegagalan menangani isu undang-undang tentera.

Choi dijadualkan bertemu Han sebelum mengadakan panggilan telefon dengan pengerusi Ketua Turus Bersama dan seterusnya mengeluarkan arahan kepada menteri-menteri, menurut kementerian berkenaan.

Pemangku presiden itu juga akan menyampaikan ucapan bertulis kepada rakyat serta mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, tambah kenyataan itu.

Dewan Parlimen Korea Selatan mengundi pada Jumaat untuk melakukan pendakwaan terhadap Han, kurang dua minggu selepas beliau mengambil alih tugas daripada Presiden Yoon Suk Yeol yang turut didakwa kerana melaksanakan undang-undang tentera, lapor Agensi Berita Yonhap.

Usul pendakwaan terhadap Han diluluskan secara sebulat suara dengan 192 undian, menjadikan beliau pemangku presiden pertama yang didakwa oleh parlimen.

Han akan digantung tugas sebaik sahaja resolusi pendakwaan diserahkan kepadanya dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Choi akan mengambil alih peranan sebagai Pemangku Presiden serta Pemangku Perdana Menteri.

“Saya menghormati keputusan Parlimen dan bagi mengelakkan kekeliruan serta ketidakpastian yang lebih besar, saya akan menggantung tugas saya mengikut undang-undang yang berkaitan dan menunggu keputusan bijak serta pantas daripada Mahkamah Perlembagaan,” kata Han dalam satu kenyataan.

Parti pemerintah, Parti Kuasa Rakyat (PPP) membantah keputusan itu, dengan menyatakan undian tersebut tidak sah kerana kuorum pemecatan hanya memerlukan majoriti mudah sebanyak 151 undian, yang terpakai untuk menteri Kabinet dan bukannya majoriti dua pertiga (200 undian) yang sepatutnya terpakai untuk presiden.

Kuorum itu diumumkan oleh Speaker Dewan Woo Won-shik, sejurus sebelum undian, menyebabkan ahli parlimen PPP tergesa-gesa mengelilingi kerusi speaker sambil menjerit “tidak sah” dan meluahkan bantahan mereka.

Usul pendakwaan Han dicadangkan oleh parti pembangkang utama, Parti Demokratik (DP), sehari sebelumnya selepas beliau enggan melantik hakim tambahan ke Mahkamah Perlembagaan yang akan mengadili perbicaraan pendakwaan Yoon.

DP menyenaraikan lima sebab bagi pendakwaan terhadap Han, termasuk keengganannya melantik hakim, penglibatannya dalam pelaksanaan undang-undang darurat oleh Yoon serta keengganannya menguatkuasakan dua rang undang-undang khas yang menyasarkan Yoon dan isteri beliau, Kim Keon Hee.

PPP dijangka mengambil langkah perundangan, termasuk memohon injunksi, untuk membatalkan keputusan pendakwaaan terhadap Han. – BERNAMA-YONHAP

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini