
NEW YORK: Tindakan mengejutkan apabila Amerika Syarikat (AS) mengundi menentang resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengutuk perang Rusia terhadap Ukraine.
Keputusan AS untuk menolak resolusi yang disokong Ukraine dan negara-negara Eropah itu meletakkan Washington dalam kedudukan bertentangan dengan sekutu tradisi di Eropah.
Sebaliknya, AS dilihat menyokong Rusia pada ulang tahun ketiga serangan negara itu ke atas Ukraine.
Langkah ini dibuat ketika pentadbiran Presiden Donald Trump meneruskan rundingan dengan Moscow bagi menamatkan peperangan, di samping meningkatkan tekanan retorik terhadap Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Resolusi itu bagaimanapun tetap diluluskan Perhimpunan Agung PBB dengan 93 undi menyokong.
Dokumen itu menyatakan kebimbangan perang yang berlarutan sejak tiga tahun dengan kesan buruk berpanjangan bukan sahaja kepada Ukraine, malah kepada kestabilan global.
Resolusi itu juga menyeru usaha de-eskalasi, gencatan senjata segera dan penyelesaian damai terhadap konflik berkenaan.
Dalam perkembangan lain, AS telah mengemukakan satu resolusi alternatif yang tidak menyebut Rusia sebagai pihak agresor atau mengiktiraf kedaulatan wilayah Ukraine.
Resolusi itu hanya menggesa agar perang segera dihentikan serta menyeru keamanan yang berkekalan antara Ukraine dan Rusia.
Ia turut meratapi kehilangan nyawa dalam konflik tersebut serta menegaskan matlamat utama PBB dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Difahamkan, AS akan membentangkan draf resolusi yang sama di Majlis Keselamatan PBB.
Sebelum pengundian di Perhimpunan Agung, Duta Dorothy Shea yang bertindak sebagai Chargé d’Affaires di Misi AS ke PBB telah menggesa semua negara anggota, termasuk Ukraine dan Rusia, untuk menyokong resolusi alternatif itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.