PROSES demokrasi pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) dianggap sebagai satu proses yang unik di dunia kerana mengandungi sistem Electoral College yang kompleks.
Menerusi proses berkenaan rakyat dapat memilih pemimpin mereka melalui sistem yang mewakili negeri-negeri dalam persekutuan. Berikut merupakan fakta menarik dalam proses pilihan raya negara berkenaan.
Bilakah pilihan raya diadakan?
Pilihan raya Presiden AS diadakan empat tahun sekali, dan akan dilakukan pada hari Selasa selepas Isnin pertama dalam bulan November.
Siapa yang boleh mengundi?
Di AS, syarat kelayakan untuk mengundi ditetapkan oleh undang-undang persekutuan, Perlembagaan AS sejak 1971 menetapkan had umur 18 tahun ke atas sebagai layak mengundi dan syarat wajib iaitu warganegara.
Apa itu ‘swing state’?
Swing state di A.S merujuk kepada negeri yang tidak mempunyai kecenderungan politik yang tetap, di mana persaingan antara Parti Demokrat dan Parti Republikan sangat sengit dan hasilnya sering berubah dalam setiap pilihan raya.
Disebabkan negeri-negeri ini kerap beralih sokongan antara kedua-dua parti, ia mendapat perhatian dan perbelanjaan kempen yang lebih tinggi kerana keputusan di negeri-negeri ini boleh menentukan kemenangan calon presiden secara keseluruhan.
Terdapat 7 swing state dalam pilihan raya kali ini:
Michigan, Wisconsin, Pennsylvania, Nevada, Arizona, North Carolina, Georgia
Bagaimana proses undian berlangsung?
Pengundi dalam pilihan raya presiden A.S memilih calon presiden yang mereka ingin sokong, tetapi mereka sebenarnya tidak mengundi secara langsung untuk calon tersebut.
Sebaliknya, pemilihan dibuat dengan memilih calon yang mewakili mereka dalam pemilihan pengundi elektoral (electors). Setiap negeri mempunyai sejumlah pengundi elektoral yang sepadan dengan bilangan ahli Kongres dari negeri tersebut (Senator dan Wakil). Pengundi elektoral kemudiannya akan mengundi untuk calon presiden yang dipilih oleh pengundi negeri mereka.
Apa itu undian elektoral?
Undian elektoral merujuk kepada sistem pemilihan pengundi di setiap negeri memilih pengundi elektoral (electors) yang akan mengundi untuk calon presiden. Setiap negeri di AS diberikan jumlah pengundi elektoral berdasarkan bilangan ahli kongresnya, iaitu jumlah gabungan Senator dan Wakil Rakyat. Terdapat 538 pengundi elektoral di seluruh negara, dan untuk menang, calon presiden perlu memperoleh sekurang-kurangnya 270 undian elektoral.
Keputusan undian elektoral biasanya diumumkan pada awal Januari tahun depan selepas Pilihan Raya Presiden.
Selepas itu, keputusan undian elektoral akan dihantar ke Kongres AS untuk dikira secara rasmi. Mesyuarat pengesahan undian elektoral diadakan pada 6 Januari, dan jika seorang calon memperoleh sekurang-kurangnya 270 undian elektoral, maka kemenangan akan berpihak kepadanya dan diumumkan sebagai presiden yang terpilih.
Bilakah Presiden baharu diumumkan?
Keputusan dan pelantikan presiden baharu Amerika Syarikat ditetapkan pada 20 Januari setiap tahun pilihan raya presiden. Pada tarikh ini, calon yang mendapat undian elektoral yang cukup akan dilantik sebagai presiden terpilih dalam satu majlis yang dipanggil Inauguration Day.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.