comscore
Tumpuan :
Dunia

McDonald’s tutup pejabat di Amerika Syarikat

FOTO: Reuters

CHICAGO: McDonald’s menutup pejabatnya di Amerika Syarikat beberapa hari sebelum memaklumkan mengenai pemberhentian kakitangan.

Media tempatan yang memetik e-mel dalaman syarikat rangkaian makanan segera yang berpangkalan di Chicago berkata, kakitangan korporat Amerika Syarikat dan beberapa pekerja di luar negara harus bekerja dari rumah, sementara menunggu maklum balas mengenai status perkhidmatan mereka.

McDonald’s akan memaklumkan kepada pekerjanya minggu ini berkaitan keputusan penamatan kakitangan sebagai sebahagian daripada program penstrukturan “Accelerating the Arched” yang diumumkan pada awal Januari.

Syarikat itu selepas ini akan lebih terarah kepada “penghantaran, ‘Drive Thru’, digital dan pembangunan”.

Gergasi makanan segera itu mempunyai lebih daripada 150,000 pekerja dalam sektor korporat.

Kira-kira 70 peratus daripada pekerja terbabit berpangkalan di luar Amerika Syarikat.

McDonald’s melaporkan jualan globalnya meningkat hampir 11 peratus pada 2022, manakala jualan di Amerika Syarikat meningkat hampir enam peratus.

Penamatan perkhidmatan kakitangan semakin meningkat di negara Uncle Sam itu, terutamanya membabitkan sektor teknologi.
IBM, Microsoft, Amazon, Salesforce, Meta, Twitter dan DoorDash telah mengumumkan pemberhentian pekerjanya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Rizab Persekutuan sebelum ini meramalkan kadar pengangguran Amerika Syarikat mungkin meningkat kepada 4.6 peratus menjelang akhir tahun ini.

Loading...
Terkini