comscore
Tumpuan :
Dunia

‘Mbah Slamet’ bunuh 10 pelanggan ditahan polis

Foto AFP

JAKARTA: Seorang bomoh pengganda wang dikenali sebagai ‘Mbah Slamet’ yang disyaki membunuh 10 orang pelanggan sejak 2020 ditahan polis di Jawa Tengah pada Sabtu lepas.

Slamet Tohari, 45, ditahan di rumahnya di Desa Balun, Wanayasa, Banjarnegara bersama seorang pembantunya yang mempromosikan perkhidmatan penggandaan wang di media sosial.

Kegiatannya terbongkar apabila Polis Banjarnegara menjalankan siasatan berhubung kehilangan mangsa terakhir yang gagal dihubungi keluarga sejak 24 Mac lepas.

Ketua Polis Banjarnegara Hendri Yulianto berkata mangsa memaklumkan sedang berada di rumah Mbah Slamet kepada anaknya melalui pesanan WhatsApp.

Bertindak atas laporan, polis menemukan mayat mangsa dipercayai akibat diracun, di ladang Desa Balun serta penemuan tiga kubur mangsa lain yang majoriti dari luar Banjarnegara termasuk dari Palembang.

Sebanyak 10 mayat dipindahkan pihak berkuasa setakat ini.

Kesemua mangsa diperdaya Mbah Slamet yang kononnya mampu menggandakan wang daripada 40 juta rupiah (RM11,822) kepada lima bilion rupiah (RM1.5 juta).

Kes disiasat di bawah Perkara 340 Kanun Jenayah yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun penjara. – BERNAMA

Loading...
Terkini