BENGALURU: Mayat seorang wanita warga emas yang dikerat-kerat ditemukan di dalam tong dram berhampiran KR Puram, di sini, pada petang Ahad.
Cebisan mayat warga emas berusia 65 tahun itu turut ditemui di kawasan kosong bersebelahan rumah terbiar.
India today melaporkan, mangsa tinggal bersama anak perempuannya di sebuah flat yang disewa berhampiran KR Puram.
Menurut polis, suspek memotong tangan dan kaki mangsa, dan dipercayai membuangnya di tempat lain sebelum mencampakkan bahagian badan di dalam dram.
Insiden itu terbongkar apabila penduduk menghidu bau busuk dari tong dram itu dan melaporkannya kepada polis Bengaluru.
“Kejadian itu mungkin berlaku semalam (Sabtu). Saya berada di sini bersama pegawai kanan untuk memeriksa tempat kejadian.
“Seorang wanita berusia kira-kira 65 tahun dibunuh, dan mayatnya dibuang di lokasi terbiar,” kata Pesuruhjaya polis Bengaluru, Raman Gupta.
Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan dan polis sudah melancarkan gerakan memburu suspek.
“Kami sedang giat meneruskan siasatan, dan kami berharap dapat menangkap pelaku secepat mungkin,” kata Gupta.
Mangsa tinggal bersama anak perempuannya dan beberapa saudara mara.
Malah saudara-mara keluarga yang lain tinggal di kawasan berhampiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.