Tumpuan :
Dunia

“Mayat sedang mereput, kami memerlukan lebih banyak bantuan lagi” – Pasukan penyelamat

Pemandangan dari udara menunjukkan rumah yang musnah di Derna selepas dilanda ribut kuat dan hujan lebat di Libya. – Foto: AGENSI

DERNA: Anggota pasukan penyelamat antarabangsa di Libya memohon lebih banyak bantuan peralatan dalam usaha mereka mendapatkan mayat mangsa yang terkorban dalam banjir dahsyat melanda bandar timur Derna, yang mengorbankan ribuan orang.

Lebih seminggu selepas kejadian, kebanyakan mayat mangsa berada di dalam air, dengan beberapa daripadanya berada di kawasan yang hanya boleh diambil menggunakan peralatan khas.

“Mayat kini sedang mereput teruk dan pada satu ketika untuk mendapatkannya mungkin tidak dapat dilakukan.

“Kami memerlukan lebih banyak bantuan lagi,” kata wakil misi Tunisia ketika ditemui bersama pasukan dari negara Arab, Turkiye dan Itali di Derna.

Wakil misi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Algeria menyifatkan untuk menemui mayat di teluk di Mediterranean hanya boleh diakses oleh bot khas.

Bandar Derna terbahagi kepada dua selepas dilanda banjir besar. – Foto: AGENSI

Wakil Algeria berkata, pasukannya melihat sekitar 50 mayat dari tebing sekitar tujuh batu nautika dari pelabuhan Derna, tetapi kawasan itu hanya boleh diakses oleh penyelam dan bot.

“Jika kami mendapatkan bot yang betul, kami boleh mendapatkan 100 mayat setiap hari,” katanya.

Hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Daniel melanda Libya pada 10 September, mencetuskan banjir di timur negara itu, dengan bandar Susah dan Derna diisytiharkan sebagai zon bencana alam.

Sehingga Khamis, jumlah korban banjir melebihi 11,000, dengan nasib kira-kira 20,000 orang lagi belum diketahui, lapor penyiar Al Arabiya, memetik Bulan Sabit Merah Libya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Libya mempertikaikan angka itu dengan Kementerian Kesihatan melaporkan sudah mendokumenkan sebanyak 3,252 kematian di Derna setakat ini.

Angka daripada Kementerian Kesihatan itu adalah mendokumentasikan mayat yang diambil dan dikebumikan. – AGENSI

Artikel berkaitan: Jumlah kematian akibat banjir di Libya catat lebih 11,000 – PBB

Loading...
Terkini