TEHRAN: Iran yang terus berdepan sekatan menamatkan perkhidmatan ketua bank pusatnya semalam, lapor media kerajaan.
Keputusan itu dibuat ketika nilai mata wang tempatan kini menjunam ke paras terendah.
“Selepas menerima peletakan jawatan Ali Salehabadi, lembaga kerajaan memilih Mohammad Reza Farzin sebagai ketua bank pusat yang baharu,” lapor stesen televisyen kerajaan.
Langkah itu dibuat ketika rial merosot hampir satu pertiga daripada nilainya di pasaran selari dalam tempoh dua bulan lalu, daripada sekitar 330,000 kepada 430,000 berbanding dolar, dengan kadar inflasi terus memuncak.
Ia berlaku ketika negara itu digemparkan dengan protes selama berbulan-bulan yang dicetuskan oleh kematian Mahsa Amini pada 16 September lalu ketika wanita itu berada dalam tahanan polis.
Iran berdepan pelbagai sekatan sejak 2018 selepas bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik AS keluar daripada perjanjian nuklear 2015 membabitkan Tehran dan kuasa besar dunia.
Perjanjian itu yang secara rasmi dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama, memberikan kelegaan sekatan kepada Iran sebagai pertukaran untuk mengekang program nuklearnya sebagai jaminan bahawa Tehran tidak membangunkan senjata nuklear.
Namun Tehran sejak dulu menafikan mengenai perkara itu. Barat turut menyasarkan firma Iran dan jeneral tentera melalui sekatan selepas menuduh republik itu menyediakan pesawat dron untuk digunakan Russia dalam perang dengan Ukraine yang berlarutan selama berbulan-bulan.Tehran bagaimanapun menafikan dakwaan itu. – AFP