comscore
Tumpuan :
Dunia

Masyarakat global bersatu dalam demonstrasi, tolak keganasan di Gaza dan Asia Barat

Demonstrasi besar-besaran di seluruh dunia itu bersempena dengan setahun keganasan dan genosid Israel ke atas Gaza. – FOTO: Reuters

PARIS: Ribuan individu turun ke jalan raya di bandar-bandar utama di seluruh dunia pada Sabtu, mendesak penghentian pertumpahan darah di Gaza dan Asia Barat yang semakin meruncing.

Protes itu juga dilakukan bersempena setahun perang antara kumpulan pejuang Hamas dan rejim Zionis Israel yang bermula pada 7 Oktober 2023.

Sekitar 40,000 penunjuk perasaan pro-Palestin berarak di London, manakala ribuan lagi berkumpul di Paris, Rom, Manila, Cape Town, dan New York.

Di Washington, demonstrasi berlangsung berhampiran Rumah Putih dalam protes sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap sekutunya, Israel, dalam kempen ketenteraan di Gaza dan Lubnan.

Sementara itu penunjuk perasaan di Times Square, New York turut memakai selendang keffiyeh hitam-putih dan melaungkan slogan seperti, “Gaza, Lubnan, kamu akan bangkit, rakyat bersamamu.” Mereka juga memegang sepanduk menuntut gencatan senjata terhadap Israel.

Pertumpahan darah terbaru dalam konflik Hamas-Israel yang berpanjangan itu tercetus daripada serangan kumpulan pejuang Hamas terhadap selatan Israel pada 7 Oktober 2023, susulan pencerobohan Israel terhadap gaza berdekad lamanya.

Sejak setahun yang lalu, Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan serangan balas Israel ke atas Gaza telah menyebabkan hampir 42,000 rakyat Palestin terbunuh. Serangan itu juga memaksa hampir 2.3 juta penduduk Gaza meninggalkan kediaman mereka, mencetuskan krisis kelaparan yang teruk di wilayah itu.

Pada masa sama, lebih 1,000 penunjuk perasaan pro-Palestin di Jakarta, Indonesia turun ke jalanan berhampiran kedutaan AS menuntut Washington menghentikan bekalan senjata kepada Israel.

Protes juga diadakan di Berlin, dengan kira-kira 1,000 penunjuk perasaan yang membawa bendera Palestin dengan laungan ‘satu tahun Palestin.’

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini