OTTAWA: Bekas Gabenor Bank Kanada dan Bank England, Mark Carney, hari ini secara rasmi mengumumkan bahawa beliau akan bertanding untuk menggantikan Perdana Menteri, Justin Trudeau sebagai pemimpin Parti Liberal yang memerintah, dengan mengatakan bahawa beliau mahu memberi tumpuan kepada ekonomi yang sedang bergelut.
Carney, 59, melancarkan kempennya di Edmonton, Alberta dengan menekankan kepakarannya dalam bidang ekonomi serta menampilkan dirinya sebagai calon luar yang bersedia untuk memperkukuhkan semula ekonomi Kanada.
Beliau memberi tumpuan kepada isu kelembapan pertumbuhan ekonomi, kadar gaji rendah, cukai tinggi terhadap golongan kelas pertengahan serta perbelanjaan kerajaan yang tinggi tetapi kurang pelaburan berkesan.
Keputusan Carney untuk terjun ke arena politik dibuat selepas Trudeau mengumumkan peletakan jawatannya minggu lalu berikutan perpecahan dalam parti serta penurunan populariti dalam kalangan rakyat.
Trudeau, yang memegang jawatan sejak November 2015, akan kekal memegang jawatan sehingga pengganti beliau dilantik pada 9 Mac.
Carney dijangka berdepan saingan sengit daripada bekas Timbalan Perdana Menteri, Chrystia Freeland, yang dijangka mengumumkan pencalonannya pada Ahad ini.
Carney bekerja untuk Goldman Sachs sebelum menyertai kementerian kewangan Kanada pada tahun 2004. Beliau dilantik sebagai gabenor Bank of Canada pada tahun 2007 dan dengan cepat terpaksa menangani kesan-kesan selepas krisis global pada tahun 2008.
Pada tahun 2013, beliau mengambil alih jawatan gabenor Bank of England, menjadi orang pertama yang pernah memimpin dua bank pusat utama.
Selepas meninggalkan bank pada tahun 2020, beliau dilantik sebagai utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk tindakan iklim dan kewangan.
Beliau juga merupakan pengerusi Brookfield Asset Management. Syarikat itu mengumumkan pada Khamis bahawa beliau telah meninggalkan jawatan tersebut, dengan alasan beliau memasuki perlumbaan Liberal. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.