Tumpuan :
Dunia

Maldives seru ‘5 Veto’ UNSC dimansuh

FOTO: Reuters

NEW YORK: Maldives menyeru kuasa veto lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), dimansuhkan dengan menyifatkan ia sebagai menghalang badan dunia itu daripada mengambil tindakan terhadap Israel.

Menurut Presiden Maldives, Mohamed Muizzu, ‘Veto’ akan terus melumpuhkan Majlis daripada menghentikan perang genosid Israel terhadap rakyat Palestin.

Kuasa veto membenarkan Israel bertindak sewenang-wenangnya, melakukan penjajahan yang kejam dan membahayakan keselamatan serantau.

Tambahnya lagi, veto terus membolehkan pembunuhan beramai-ramai orang yang tidak berdosa.

Acara itu dianjurkan oleh Slovenia yang memegang jawatan Presiden Majlis Keselamatan untuk September, ketika pemimpin dunia berhimpun di New York bagi menghadiri mesyuarat tahunan Perhimpunan Agung PBB.

Ini adalah kali pertama seorang Presiden Maldives berucap di UNSC sejak negara itu menyertai PBB 59 tahun lalu.

Muizzu menggunakan peluang itu untuk mengutarakan kebimbangan yang dikongsi oleh majoriti masyarakat dunia.

Struktur UNSC yang dibarisi 15 negara anggota, tidak berubah sejak ia ditubuhkan pada 1946 dengan memberi kuasa veto kepada Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat (AS).

Terdapat peningkatan seruan agar sistem veto itu ditamatkan, malah ia sering dipersalahkan atas kegagalan Majlis dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini