comscore
Tumpuan :
Dunia

Malaysia-UAE: Sheikh Mohamed terima menghadap PM

Oleh: Juliana Sharin

ABU DHABI: Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Istana Presiden, Abu Dhabi.

Kedua-dua pemimpin negara mengkaji semula kerjasama sedia ada antara kedua negara dan membincangkan langkah untuk mengukuhkannya terutama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, juga keselamatan makanan, bagi memenuhi visi negara mampan dan masa depan sejahtera.

Pertemuan berlangsung jam 11 pagi waktu tempatan (jam 3 petang waktu Malaysia) hari ini, di Qasr Al Shati, Abu Dhabi.

Datuk Seri Anwar dan Sheikh Mohamed menekankan kepentingan bersama dalam menggalakkan kerjasama ke arah mewujudkan perkongsian ekonomi yang komprehensif antara kedua-dua negara dalam masa terdekat.

Dalam pertemuan selama sejam itu, kedua-dua pemimpin membincangkan usaha mengukuhkan hubungan dua hala selain menzahirkan minat untuk melanjutkan peluang kerjasama bagi meneroka pembangunan mampan di kedua-duanya.

Baginda dan Perdana Menteri turut membincangkan perkembangan terkini serantau dan antarabangsa serta bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai topik yang menarik minat bersama.

Selain merakamkan penghargaan atas sambutan yang diberikan kepadanya dan delegasi, Datuk Seri Anwar turut menyatakan kesungguhan Malaysia untuk mengembangkan kerjasama dengan UAE merentasi pelbagai sektor, khususnya ekonomi, pelaburan dan pembangunan.

Ini adalah pertemuan kali pertama antara kedua-dua pemimpin sejak pelantikan Sheikh Mohamed sebagai Presiden UAE Mei tahun lalu dan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri November 2022.

Datuk Seri Anwar tiba di ibu negara UAE awal pagi tadi untuk lawatan kerja dua hari.

Beliau sebelum itu mengadakan mesyuarat dengan Menteri Pelaburan, Mohamed Hassan Al Suwaidi termasuk beberapa pegawai tertinggi UAE, di sebuah hotel terkemuka wilayah itu.

Perdana Menteri kemudian mengadakan pertemuan dengan pemain industri UAE antaranya Pengerusi Kumpulan Antarabangsa Lulu, Yusuff Ali, Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi, ADIA Sheikh Hamed bin Zayed Al Nahyan, Pegawai Eksekutif Kumpulan Mubadala, Khaldoon Al Mubarak dan Pengerusi Aldar, Muhamad Al Mubarak.

Lawatan hari pertama itu diakhiri dengan persidangan meja bulat bersama kapten industri.

Esok, Datuk Seri Anwar dijangka mengadakan lawatan ke bandar MASDAR dan Universiti Kecerdasan Buatan Mohamed bin Zayed.

Beliau juga dijadual menunaikan solat jumaat di Masjid Besar Sheikh Zayed, disusuli sesi bersama kira-kira 300 rakyat Malaysia yang menetap di UAE.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini