comscore
Tumpuan :
Dunia

Malaysia terus sokong Afrika Selatan ambil tindakan undang-undang terhadap Israel

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia akan terus menyokong Afrika Selatan dalam tindakan undang-undang terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berikutan serangan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Palestin.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan, Malaysia menyeru Israel sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Genosid untuk menghormati undang-undang antarabangsa dan menamatkan kekejamannya terhadap rakyat Palestin serta merta.

Malaysia menyambut baik permulaan perbicaraan terbuka kes yang dibawa Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ yang bermula semalam hingga hari ini.

“Semasa hujahan lisannya, Afrika Selatan menegaskan kepentingan segera supaya ICJ menetapkan langkah sementara (provisional measures) termasuk mengarahkan Israel menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat
Palestin dengan serta merta.

“Afrika Selatan telah mengemukakan bukti yang kukuh mengenai niat dan perbuatan genosid yang melanggar Konvensyen Genosid,” menurut kenyataan itu.

Permohonan permulaan prosiding itu yang difailkan pada 29 Disember tahun lalu adalah berkaitan pencabulan Israel terhadap obligasinya di bawah Konvensyen 1948 membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid (Konvensyen Genosid) kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Hari kedua perbicaraan disambung dengan hujahan lisan daripada pihak Israel.

Keputusan ICJ berhubung  langkah sementara dijangka dikeluarkan dalam beberapa minggu akan datang.

Mengulas lanjut, Wisma Putra menegaskan, Malaysia mengulangi komitmen untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin di semua platform dan menantikan keputusan perbicaraan ICJ.

Perang antara Palestin-Israel yang meletus sejak 7 Oktober tahun lalu sehingga hari ini telah mengakibatkan puluhan ribu rakyat kedua-dua pihak terkorban dan cedera.

Loading...
Terkini