KUALA LUMPUR: Malaysia puji tindakan Mesir yang memudahkan penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dengan membuka sempadan Rafah-Gaza.
Dalam satu kenyataan Kementerian Luar berkata laluan tanpa halangan itu penting bagi membolehkan rakyat Palestin mendapat bekalan untuk meneruskan kehidupan selepas menghadapi sekatan penuh oleh rejim zionis.
Katanya, Malaysia mengalu-alukan usaha Mesir yang menggesa rejim Israel menghentikan segera serangan ke atas pintu sempadan di Salah al Din di Palestin yang bersempadan dengan Rafah.
“Tindakan Mesir itu dapat memudahkan penghantaran bekalan kemanusiaan dilakukan segera kepada penduduk yang terjejas di Gaza,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan sama berkata Malaysia juga bersedia menyertai usaha antarabangsa menyalurkan bantuan kemanusiaan dan bekalan kerajaan Mesir di sempadan Rafah-Gaza.