comscore
Tumpuan :
Dunia

Malaysia kecam tindakan sasar bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria

PETALING JAYA: Malaysia mengecam tindakan menyasarkan bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria, yang telah mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi itu, selain turut mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang tercedera.

“Tindakan sengaja mensasarkan premis diplomatik ini adalah jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan amalan diplomatik.

“Malaysia menyeru semua pihak yang terlibat untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati premis diplomatik sebagai kawasan mutlak bagi sesebuah negara. Insiden ini telah memberikan petanda bahawa perlunya dialog bagi meredakan konflik di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata, Malaysia menekankan kepentingan penyiasatan menyeluruh dilakukan terhadap serangan itu dan menggesa semua pihak mengelakkan sebarang provokasi yang boleh meningkatkan ketegangan.

Pesawat perang Israel melakukan serangan udara yang menyasarkan sebuah bangunan tambahan konsulat bersebelahan bangunan kedutaan utama, mengakibatkan kematian tujuh penasihat tentera pada Isnin, menurut laporan agensi berita Iran IRNA, memetik Kor Pengawal Revolusi Islam.

Duta Iran ke Syria, Hossein Akbari, yang berada di pejabatnya di kedutaan itu semasa serangan, mengesahkan bahawa pesawat perang F-35 Israel dari Dataran Tinggi Golan yang didudukinya, melancarkan enam peluru berpandu di bangunan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini