RIYADH: Selepas lima negara termasuk Malaysia, program Pra Pelepasan Jemaah Haji atau ‘Makkah Route’ yang memudahkan pengurusan kemasukan jemaah haji ke negara itu terutama memendekkan tempoh masa proses dokumentasi kini diperluaskan kepada jemaah Turkiye dan Ivory Coast.
Selain Malaysia, inisiatif berkenaan sejak dilancarkan pada 2018 turut melibatkan Pakistan, Indonesia, Maghribi dan Bangladesh.
![](https://media.buletintv3.my/2023/05/MEKKAH-ROUTE.jpg)
Menurut Kementerian Dalam Negeri, inisiatif Makkah Route bertujuan menerima jemaah haji dan menyelesaikan prosedur dari negara mereka dengan mudah.
Memetik laporan Saudi Gazette, ia bermula dengan mengeluarkan visa secara elektronik dan mengambil ciri-ciri penting serta kemudian melalui prosedur pasport lengkap di lapangan terbang negara berlepas selepas mengesahkan ketersediaan keperluan kesihatan.
Selain itu, prosedur termasuk pengekodan dan pengasingan bagasi jemaah untuk dihantar ke tempat kediaman di negara berkenaan.
Setibanya jemaah, mereka bergerak terus ke bas untuk dibawa ke tempat kediaman di Makkah dan Madinah, dengan laluan ditetapkan, manakala pihak berkuasa perkhidmatan menghantar bagasi mereka ke tempat kediaman.- AGENSI