NEW YORK : Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan bersidang pada Jumaat bagi membincangkan ketegangan yang terus memuncak di bandar Jenin, Tebing Barat hingga menyebabkan angka kematian meningkat.
Pertemuan itu dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu dan majlis yang dianggotai 15 ahli itu akan bertemu dalam sesi mesyuarat tertutup, lapor Agensi Anadolu.
Ketegangan semakin memuncak di Tebing Barat sejak beberapa bulan kebelakangan ini susulan serangan Israel ke bandar-bandar Palestin.
Tentera Israel pada Isnin melancarkan operasi ketenteraan terbesarnya di Jenin dalam tempoh lebih 20 tahun, membunuh sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin manakala lebih 100 yang lain cedera, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Hampir 190 rakyat Palestin telah dibunuh tentera Israel sejak awal tahun ini, menurut kementerian itu.
Sekurang-kurangnya 25 warga Israel terbunuh dalam serangan berasingan dalam tempoh yang sama. — BERNAMA-ANADOLU