comscore
Tumpuan :
Dunia

Majlis Keselamatan PBB adakan mesyuarat tergempar ketegangan Palestin-Israel

Foto: Reuters

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Ahad mengadakan rundingan tergempar secara tertutup berikutan serangan besar-besaran di Gaza, lapor Xinhua.

Majlis itu bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang dokumen selepas pertemuan tersebut.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour sebelum mesyuarat itu berkata, kekebalan Israel dan ketiadaan tindakan antarabangsa harus dipersalahkan atas situasi semasa.

“Adalah dikesali, sejarah bagi sesetengah media dan ahli politik bermula apabila orang Israel terbunuh,” menurutnya dalam satu kenyataan.

“Ini bukan masa untuk membiarkan Israel menggandakan pilihannya yang mengerikan. Ini adalah masa untuk memberitahu Israel bahawa ia perlu mengubah haluan bahawa terdapat jalan ke arah perdamaian di mana baik rakyat Palestin dan Israel tidak terbunuh.”

“Israel selalu berkata: sekatan dan serangan berulang-ulang ke atas Gaza adalah untuk memusnahkan keupayaan tentera Hamas dan memastikan keselamatan. Jelas dan seperti yang dijangkakan, sekatan dan serangan itu tidak mencapai apa-apa,” katanya.

“Satu-satunya perkara yang mereka berjaya lakukan adalah menyebabkan penderitaan yang teruk pada seluruh penduduk awam. Sudah tiba masanya untuk mengakhiri keganasan dan pertumpahan darah serta merta dan sudah tiba masanya untuk mengakhiri sekatan ini dan membuka hala tuju politik.”

Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel pada hari Sabtu. Sebagai tindak balas, tentera Israel melakukan serangan udara yang menyasarkan tapak dan ibu pejabat Hamas di Semenanjung Gaza.

Sementara itu, wakil tetap China ke PBB, Zhang Jun menggesa agar pihak bertelagah mengawal tindakan untuk mengelak peningkatan ketegangan selanjutnya.

Semasa rundingan itu, Zhang berkata China sangat bimbang dengan pertempuran dan bersedih dengan kematian ramai penduduk awam. China juga bimbang tentang prospek peningkatan konflik lebih lanjut, menurut Misi Tetap China ke PBB.

Zhang menyeru semua pihak untuk mengawal tindakan maksimum bagi mengelak peningkatan lebih lanjut dan bersetuju dengan gencatan senjata. Beliau menggesa usaha untuk mendesak penyelesaian dua negara dengan segera. – BERNAMA-XINHUA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini