Tumpuan :
Dunia

Majlis angkat sumpah Trump dipindah ke lokasi tertutup

Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

WASHINGTON: Majlis angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat (AS) terpilih, Donald Trump, akan dipindahkan ke Rotunda Capitol AS disebabkan suhu ekstrem yang dijangka membadai Washington.

Trump mengumumkan perubahan itu melalui platform Truth Social, memaklumkan ucapan pelantikan akan diadakan di lokasi tertutup pada Isnin depan.

“Cuaca sangat sejuk, jadi saya telah mengarahkan majlis diadakan di Rotunda Capitol, seperti yang pernah dilakukan Ronald Reagan pada 1985,” kata Trump.

Beliau turut menyatakan bahawa Capital One Arena akan dibuka untuk menayangkan acara secara langsung.

Suhu semasa majlis angkat sumpah dijangka berada pada -6°C, dengan angin sejuk yang boleh menurunkan suhu terasa sehingga -12°C.

Keadaan itu lantas membimbangkan kerana ia boleh membahayakan kesihatan para tetamu dan pasukan keselamatan yang terlibat.

Perpindahan itu turut memberi kesan kepada perancangan keselamatan, dengan agensi penguat kuasa undang-undang yang kini berusaha menyesuaikan semula pelan keselamatan lebih kompleks.

Sehingga pagi Jumaat, lebih 30 batu pagar sudah dipasang untuk mengawal keselamatan acara tersebut.

Majlis pelantikan Trump dijangka disaksikan oleh ratusan ribu tetamu dengan penglibatan sekitar 25,000 anggota keselamatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini