Tumpuan :
Dunia

Mahmoud Abbas seru segera hentikan pencerobohan Israel di Gaza dan Lubnan

FOTO: Reuters

RAMALLAH: Presiden Palestin Mahmoud Abbas menegaskan Palestin berusaha untuk menamatkan pendudukan dan menghentikan pencerobohan Israel di Gaza.

Menurutnya, pencerobohan di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis perlu dihentikan sepenuhnya bagi menamatkan pendudukan ke atas Negara Palestin dengan ibu negaranya di Baitulmaqdis Timur.

Dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Ketiga Dialog Kerjasama Asia di Doha, Abbas berkata meskipun berdepan kesulitan yang ditimbulkan oleh pendudukan, atlet Palestin seperti rakyat mereka yang lain, terus gigih dan tabah mencapai kejayaan yang membanggakan.

Negara Palestin juga mengamalkan diplomasi sukan melalui penyertaannya dalam semua forum sukan antarabangsa.

Tegas Abbas, sidang kemuncak ini diadakan ketika rantau itu berdepan bahaya besar akibat keengganan Israel menghentikan pendekatan keganasan dan pencerobohan.

Ujarnya, rakyat Palestin termasuk atlet serta rakyat Lubnan, kini menjadi mangsa pencerobohan kejam Israel, yang meragut ribuan nyawa kanak-kanak, wanita, dan warga emas.

Pencerobohan berterusan Israel telah memusnahkan lebih 90 peratus infrastruktur di Gaza, termasuk kemudahan dan prasarana sukan.

Tambahnya, keamanan dan toleransi tidak boleh wujud bersama dengan pendudukan, diskriminasi kaum, pembersihan etnik, penindasan dan ketidakadilan yang menghalang rakyat Palestin daripada mencapai aspirasi untuk kebebasan dan kemerdekaan.

Justeru, beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk campur tangan segera bagi menghentikan pencerobohan kejam terhadap Palestin dan Lubnan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini