Tumpuan :
Dunia

Mahmoud Abbas namakan Rawhi Fattouh calon pengganti

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. Foto: REUTERS

RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, semalam mengumumkan calon penggantinya untuk tempoh sementara apabila jawatannya kosong, sekali gus menyingkirkan pergerakan Islam Hamas daripada sebarang pembabitan dalam peralihan kepemimpinan masa depan Palestin.

Abbas, 89, masih memerintah walaupun tempohnya sebagai ketua Pihak Berkuasa Palestin (PA) berakhir pada 2009 dan menentang tekanan untuk melantik pengganti atau naib presiden.

Di bawah undang-undang semasa Palestin, speaker Majlis Perundangan Palestin (PLC) mengambil alih PA sekiranya berlaku kekosongan kepimpinan.

Bagaimanapun PLC, di mana Hamas mempunyai majoriti, tidak lagi wujud sejak Abbas secara rasmi membubarkannya pada 2018 selepas lebih sedekad ketegangan antara parti sekularnya, Fatah dan Hamas, yang menggulingkan PA daripada kuasa di Semenanjung Gaza pada 2007.

Dalam satu dekri, Abbas berkata, Pengerusi Majlis Kebangsaan Palestin (PNC), Rawhi Fattouh, akan menjadi pengganti sementaranya sekiranya jawatan yang dipegangnya kosong.

“Jika jawatan presiden pihak berkuasa negara kosong tanpa kehadiran PLC, presiden Majlis Kebangsaan Palestin akan memikul tugas buat sementara waktu,” katanya.

Dekri itu turut menjelaskan, dalam tempoh peralihan kuasa, pilihan raya mesti diadakan dalam masa 90 hari dan tarikh akhir itu boleh dilanjutkan sekiranya berlaku ‘force majeure’ atau keadaan luar jangka yang menghalang seseorang daripada memenuhi kewajipan.

PNC ialah Parlimen Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang mempunyai lebih 700 ahli dari wilayah Palestin dan luar negara.

Hamas, yang tidak termasuk dalam PLO, tidak mempunyai perwakilan dalam majlis itu dengan Timbalan PNC tidak dipilih, sebaliknya dilantik.

Dekri itu merujuk kepada ‘peringkat sensitif dalam sejarah tanah air dan perjuangan Palestin’ ketika perang memuncak di Gaza antara Israel dan Hamas, selepas serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Israel selatan pada Oktober 2023.

Terdapat juga pertempuran berterusan antara Hamas dan Fatah.

Dekri itu dibuat pada hari sama gencatan senjata berkuat kuasa di Lubnan selepas perjanjian antara Israel dan sekutu Hamas, kumpulan pejuang Hizbullah di Lubnan.

Pihak PA semakin lemah berbanding sebelum ini, tidak mampu membayar penjawat awamnya dan diancam oleh desakan menteri kanan Israel untuk menjajah semua atau sebahagian daripada Tebing Barat yang diduduki.

Susulan serangan di Gaza sejak 7 Oktober lalu yang merebak ke Tebing Barat dan wilayah Palestin yang diduduki, Israel kini semakin terbuka dalam usahanya untuk menawan keseluruhan Palestin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini