Tumpuan :
Dunia

Mahkamah Syariah putuskan perkahwinan Mahalini, Rizky Febian tidak sah

JAKARTA: Pasangan sensasi, Rizky Febian dan Mahalini Raharja diminta bernikah semula selepas Mahkamah Syariah Jakarta Selatan memutuskan perkahwinan mereka tidak sah mengikut hukum syariah.

Mahkamah memutuskan majlis perkahwinan Rizky dan Mahalini tidak memenuhi piawaian undang-undang dan agama, mengakibatkan pasangan itu perlu mengulangi akad nikah mereka.

Perkahwinan mereka, Mei lalu mendapat perhatian ramai kerana undang-undang Indonesia melarang perkahwinan berbeza agama, di mana peraturan menetapkan salah seorang pasangan bertukar agama.

Berikutan undang-undang itu, Mahalini yang sebelum ini beragama Hindu memilih untuk memeluk Islam sebelum berkahwin dengan Rizky.

Jurucakap dari Mahkamah Agama Jakarta Selatan, H Suryana menjelaskan bahawa, salah satu rukun nikah yang tidak dipenuhi, iaitu pelantikan wali nikah yang tidak sah atau wali hakim, menjadi alasan keputusan itu dibuat.

“Daripada hasil pemeriksaan, majlis hakim mengambil keputusan bahawa pernikahan yang dilaksanakan tidak sah berikutan ada salah satu syarat, salah satu rukun nikah yang tidak terpenuhi.

“Salah satunya wali yang menikahkan bukan wali yang berhak.

“Jadi, kalau kita melihat latar belakang Mahalini seorang mualaf, kalau tidak salah, baru dua hari. Selepas mualaf dia nikah, orang tuanya bukan Muslim, di situlah, bererti walinya bukan orang tuanya,” katanya.

Menurut Undang-undang Perkahwinan Indonesia, wali perkahwinan mestilah sama ada ahli keluarga terdekat atau ketua Pejabat Hal Ehwal Agama (KUA) tempatan apabila pengantin perempuan tidak mempunyai wali yang sah.

Sehubungan itu, Risky dan Mahalini perlu mendaftarkan perkahwinan mereka dengan KUA dan mengulangi majlis itu bagi memenuhi syarat sah.

Suryana berkata, kesilapan itu mungkin berlaku kerana kurangnya kesedaran mengenai prosedur yang betul di kedua-dua belah pihak dan menekankan bahawa pasangan itu tidak harus dipersalahkan atas kesilapan itu.

“Perkahwinan itu tidak sah, tetapi kami menyedari bahawa ini adalah salah faham. Mereka mesti berkahwin semula dengan wali hakim yang sepatutnya sebelum boleh didaftar secara rasmi,” katanya.

Walaupun pasangan itu mempunyai pilihan untuk membuat rayuan, Suryana menegaskan jika tiada rayuan dibuat, mereka perlu mengikut proses yang betul untuk memastikan perkahwinan mereka diiktiraf secara sah.

Mahkamah Syariah Jakarta Selatan juga dilapor menasihatkan pasangan itu supaya mengambil peranan dalam menguruskan dokumentasi perkahwinan mereka bagi mengelak masalah pada masa depan.

“Mereka harus menguruskan sendiri perkara ini, termasuk memilih penjaga dan saksi yang betul, dan tidak menyerahkan tanggungjawab ini kepada penganjur perkahwinan,” katanya.

Pada 31 Oktober lalu, pegawai Mahkamah Agama Jakarta Selatan mendedahkan perkahwinan Rizky dan Mahalini masih belum didaftarkan.

Difahamkan, Rizky dan Mahalini baharu menghantar permohonan pengesahan pernikahan mereka pada 10 Oktober lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 5 Mei lalu di Hotel Raffles, Jakarta.- AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini