NEW YORK: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak akan menghadapi hukuman penjara atau denda berikutan sabitan kesalahan jenayah berkaitan bayaran tutup mulut kepada seorang bintang filem lucah.
Hakim Juan Merchan, memutuskan hukuman pelepasan tanpa syarat, mengekalkan rekod sabitan jenayah terhadap Trump tanpa hukuman lanjut.
Trump, 78, menjadi presiden pertama yang memegang jawatan dengan sabitan kesalahan jenayah. Walaupun dilindungi oleh perlembagaan daripada pendakwaan semasa menjadi presiden, sabitan ini tidak dapat dihapuskan dan akan kekal dalam rekod.
Kes itu berkait dengan 34 tuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menutup bayaran AS$130,000 (RM585,000) kepada Stormy Daniels sebelum pilihan raya presiden 2016.
Semasa perbicaraan selama enam minggu, pihak pendakwa berhujah bahawa tindakan Trump adalah usaha untuk mengganggu pilihan raya 2016. Namun, Trump menggunakan kes ini untuk memperkukuhkan sokongan politik.
Selain itu, Trump turut didakwa atas pelbagai kes termasuk dakwaan mengekalkan dokumen sulit dan mencabar keputusan Pilihan Raya 2020.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.