Tumpuan :
Dunia

Mahkamah perlembagaan mulakan perbicaraan Yoon pada 27 Disember

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol. – FOTO: Reuters

SEOUL: Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan akan mengadakan sesi pendengaran persediaan pertama berhubung pendakwaan parlimen terhadap Presiden Yoon Suk Yeol pada 27 Disember, menandakan permulaan proses kehakiman bagi perbicaraan pendakwaan itu, lapor Agensi Berita Yonhap.

Keputusan itu diumumkan pada mesyuarat hakim mahkamah berkenaan untuk membincangkan prosedur, termasuk menetapkan tarikh pendengaran utama bagi menilai hujah serta bukti berkaitan.

Pendengaran akan bermula pada pukul 2 petang.

Pada Sabtu, Parlimen meluluskan usul pendakwaan terhadap Yoon susulan pelaksanaan undang-undang tentera pada 3 Disember yang hanya bertahan sekejap, menyebabkan kuasa presiden beliau digantung dan keputusan mengenai kedudukannya diserahkan kepada Mahkamah Perlembagaan.

Mahkamah itu menyatakan ia kini “dalam proses” menyerahkan salinan permohonan pengadilan pendakwaan kepada Yoon serta meminta maklum balas beliau. Bagaimanapun, Yoon tidak perlu memberi maklum balas.

Sesi pendengaran persediaan dan prosiding berikutnya akan terbuka kepada umum. Walaupun Yoon biasanya diperlukan hadir dalam pendengaran, beliau tidak diwajibkan menghadiri sesi pertama yang dijadualkan pada 27 Disember.

Mahkamah itu juga memaklumkan bahawa perbicaraan pendakwaan akan diberikan keutamaan.

Mahkamah Perlembagaan mempunyai tempoh sehingga 180 hari untuk memutuskan sama ada untuk mengesahkan pendakwaan itu dan menyingkirkan Yoon daripada jawatan, atau mengembalikan semula jawatan presiden kepada beliau.

Ketua Hakim bagi kes ini telah dilantik melalui undian elektronik, namun mahkamah memutuskan untuk merahsiakan identiti hakim itu dengan alasan ia adalah “keputusan para hakim.”

Secara prinsip, mahkamah tidak mendedahkan hakim yang mengetuai perbicaraan perlembagaan. Pendedahan Ketua Hakim dalam perbicaraan pendakwaan bekas Presiden Park Geun-hye pada 2016 dianggap sebagai satu pengecualian.

Mahkamah turut melantik dua hakim yang bertanggungjawab terhadap pemeriksaan bukti dalam kes pendakwaan Yoon.

Berhubung kekosongan tiga jawatan hakim daripada keseluruhan sembilan anggota panel, mahkamah menjelaskan perbicaraan masih boleh diteruskan dengan enam anggota panel hakim yang ada.

Bagi memutuskan pendakwaan, persetujuan daripada kesemua enam hakim diperlukan.

Parti politik yang bersaing telah memilih calon untuk tiga kekosongan itu dan jawatankuasa khas parlimen ditubuhkan untuk mengadakan sesi pengesahan bagi pelantikan tiga hakim berkenaan.

Dengan kelulusan Parlimen, Pemangku Presiden dan Perdana Menteri Han Duck-soo akan melantik hakim secara rasmi. Parlimen merancang untuk menyelesaikan proses pelantikan itu sebelum akhir tahun ini.

Mahkamah turut membentuk pasukan khas terdiri daripada kira-kira 10 pegawai mahkamah untuk meneliti fakta dan isu perundangan lain bagi menyediakan maklumat relevan kepada hakim dalam proses pertimbangan mereka.

Setelah semua persediaan selesai, pendengaran pendakwaan akan diadakan secara terbuka.

Jika pendakwaan disahkan, Yoon akan menjadi presiden kedua yang disingkirkan selepas bekas Presiden Park Geun-hye pada 2017, sekali gus mencetuskan pilihan raya presiden baharu dalam tempoh 60 hari. – BERNAMA-YONHAP

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini