SYDNEY: Sebuah mahkamah di Australia pada Selasa meluluskan denda terhadap Qantas, syarikat penerbangan nasional kerana menjual ribuan tiket penerbangan yang telah dibatalkan.
Mahkamah Persekutuan Australia meluluskan penyelesaian sebanyak 120 juta dolar Australia (US$80.7 juta) antara syarikat penerbangan nasional itu dan pemantau pengguna, Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC), berhubung kontroversi “penerbangan hantu”, lapor Xinhua.
ACCC memulakan tindakan undang-undang terhadap Qantas pada November 2023, mendakwa syarikat penerbangan itu menjual ribuan tiket penerbangan yang telah dibatalkan.
Kedua-dua pihak bersetuju dengan penyelesaian pada Mei, dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Helen Rofe, pada Selasa menerima denda sebanyak 100 juta AUD (US$67.3 juta) serta pampasan sebanyak 20 juta AUD (US$13.4 juta) kepada pelanggan sebagai langkah pencegahan terhadap ketidakpatuhan Qantas dengan undang-undang pengguna pada masa hadapan.
Menurut fakta kes yang dipersetujui oleh ACCC dan Qantas, seramai 86,597 pelanggan membayar sejumlah 17.9 juta AUD (US$12.05 juta) untuk tempat duduk penerbangan yang telah dibatalkan dalam tempoh antara Mei 2021 dan Ogos 2023.
Qantas terus menjual tempat duduk sehingga 62 hari selepas membuat keputusan untuk membatalkan penerbangan dan mengambil masa sehingga 67 hari untuk memaklumkan pelanggan mengenai pembatalan penerbangan mereka.
Peguam Ruth Higgins pada Selasa memohon maaf bagi pihak syarikat penerbangan itu di mahkamah.
“Qantas memohon maaf kerana terlibat dalam tindakan yang diakui dalam prosiding ini,” katanya.
Wakil ACCC, Christopher Caleo, berkata langkah memastikan Qantas mematuhi undang-undang pengguna adalah keutamaan kerana statusnya sebagai syarikat penerbangan nasional dan syarikat penerbangan terbesar di Australia.
“Oleh itu, adalah penting hukuman yang dikenakan memberi kesan yang setimpal dan tidak dianggap oleh Qantas sebagai kos yang boleh diterima akibat kegagalan mempunyai sistem dan proses yang mencukupi,” katanya kepada mahkamah.
“Cadangan bersama pihak-pihak adalah bahawa saiz dan kedudukan kewangan Qantas memerlukan penalti yang ketara untuk mencapai pencegahan yang berkesan,”katanya lagi.
Di bawah terma penyelesaian, Qantas akan membayar sehingga 450 AUD (US$302.9) kepada pelanggan yang terjejas selain sebarang bayaran balik yang telah ditawarkan sebelum ini.
— BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa