SEOUL: Mahkamah Seoul pada Jumaat menolak permohonan pendakwaan untuk melanjutkan tempoh penahanan Presiden Yoon Suk-yeol melebihi tempoh asal, lapor media antarabangsa.
Permohonan itu dibuat sehari selepas Pejabat Siasatan Rasuah untuk Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) menyerahkan kes berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon kepada pihak pendakwaan.
CIO dilapor memindahkan kes tersebut kerana tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mendakwa seorang presiden.
Mahkamah menolak permohonan itu atas alasan kekurangan asas untuk meneruskan siasatan tambahan oleh pendakwaan. Mengikut undang-undang, seorang suspek boleh ditahan sehingga 10 hari, dengan lanjutan maksimum 10 hari lagi. Bagaimanapun, Yoon telah ditahan sejak Ahad lalu.
Dengan keputusan mahkamah itu, pendakwaan kini perlu mempercepat proses soal siasat terhadap Yoon, yang sebelum ini enggan bekerjasama dengan CIO. Pendakwaan juga dilaporkan bersedia untuk memfailkan pertuduhan sekiranya masa untuk siasatan tidak mencukupi.
Terdahulu, Yoon didakwa bersubahat dengan bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun untuk mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember, langkah itu lantas mencetuskan krisis politik.
Yoon juga dituduh menghantar tentera ke Parlimen untuk menghalang pembatalan dekri berkenaan.
Ketika ini, Yoon ditahan di Pusat Tahanan Seoul, sementara Mahkamah Perlembagaan menilai kesahihan pemecatannya oleh Parlimen. Jika pemecatan disahkan, pilihan raya presiden perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Sebaliknya, jika pendakwaan ditolak, Yoon akan kembali memegang jawatannya sebagai presiden.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.