Tumpuan :
Dunia

Mahkamah Korea Selatan putuskan sama ada melanjutkan penahanan Presiden

Foto: Reuters

SEOUL: Mahkamah Korea Selatan akan menilai sama ada untuk melanjutkan penahanan Presiden Yoon Suk Yeol yang dipecat selepas penyiasat menahannya berhubung cubaan undang-undang darurat tentera yang gagal.

Suk Yeol, yang dijangka hadir pada sesi pendengaran itu, mencetus kekacauan di negara berkenaan pada 3 Disember lalu apabila cuba menggantung pemerintahan awam dengan alasan perlu menangani ancaman daripada “elemen anti-Negara”.

Tentera yang diarahkan oleh presiden untuk menyerbu Parlimen gagal menghalang Ahli Parlimen daripada membatalkan undang-undang darurat hanya enam jam selepas pengumuman mengejut itu.

Suk Yeol kemudiannya dipecat oleh Parlimen dan menolak untuk ditahan selama beberapa minggu serta berlindung di kediamannya yang dikawal ketat sehingga akhirnya ditahan pada Rabu dalam satu serbuan awal pagi.

Sebagai Presiden pertama Korea Selatan yang ditahan semasa masih berkhidmat, Suk Yeol enggan bekerjasama sepanjang tempoh awal 48 jam penahanan oleh pihak berkuasa.

Namun, beliau terus berada dalam tahanan selepas penyiasat memohon waran baru pada Jumaat untuk melanjutkan tempoh penahanannya.

Seorang hakim di Mahkamah Daerah Barat Seoul dijangka menilai permohonan itu dengan keputusan dijangka diumumkan malam ini atau awal pagi esok.

Pejabat Siasatan Rasuah (CIO) sedang menyiasat Suk Yeol atas tuduhan pemberontakan, yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati jika didapati bersalah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini