Tumpuan :
Dunia

Mahkamah keluarkan waran tangkap ke atas Presiden Korea Selatan

Presiden Yoon Suk Yeol. – FOTO: Reuters

SEOUL: Mahkamah Korea Selatan pada hari Selasa meluluskan waran tangkap untuk Presiden Yoon Suk Yeol yang digantung daripada memegang kuasa ekoran keputusannya untuk melaksanakan undang-undang tentera pada 3 Disember, menurut pihak berkuasa .

Mahkamah turut meluluskan waran geledah untuk kediaman Yoon, menurut CIO.

Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Tinggi (CIO) mengesahkan bahawa Mahkamah Daerah Barat Seoul meluluskan waran tersebut yang dimohon oleh pegawai penyiasat .

Ia adalah waran tangkap pertama yang dikeluarkan untuk seorang presiden yang sedang memegang jawatan di Korea Selatan, menurut media tempatan.

Bagaimanapun masih tidak jelas bila atau bagaimana waran tangkap untuk Yoon akan dilaksanakan.

Perkhidmatan keselamatan Presiden Korea Selatan dalam satu kenyataan pada hari Selasa menyatakan bahawa mereka akan akur dengan waran tangkap tersebut mengikut proses undang-undang.

Sebelum ini, pihak polis telah cuba tetapi gagal untuk menggeledah pejabat presiden sebagai sebahagian daripada siasatan, disebabkan oleh halangan daripada perkhidmatan keselamatan presiden.

Yoon kini sedang disiasat atas kemungkinan tuduhan pemberontakan.

Pemberontakan adalah salah satu daripada beberapa tuduhan yang tidak memberi imuniti kepada seorang presiden Korea Selatan.

Pemimpin sementara Parti Kuasa Rakyat yang memerintah, Kweon Seong-dong, berkata pada hari Selasa bahawa usaha untuk menangkap seorang presiden yang sedang memegang jawatan adalah tidak sesuai, menurut agensi berita Yonhap. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini