comscore
Tumpuan :
Dunia

Mahkamah Jenayah Antarabangsa arah guna istilah ‘Negara Palestin’ dalam mahkamah

Rakyat Palestin berjalan melepasi rumah yang musnah, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas, di kem pelarian Jabalia, di utara Semenanjung Gaza. – FOTO: Reuters

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) secara rasmi meminta badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi lain, termasuk yang disokong Jerman dan Israel, menggunakan istilah ‘Negara Palestin’ dalam hujah bertulis mereka, menggantikan istilah ‘Palestin’ yang digunakan sebelum ini.

Arahan bahasa ICC itu berkaitan dengan penyiasatan berterusan terhadap isu membabitkan Palestin, kes yang menarik perhatian beberapa entiti antarabangsa.

Pelbagai pertubuhan, kebanyakannya sejajar dengan perspektif Jerman dan Israel, telah mematuhi permintaan mahkamah dengan mengemas kini istilah tersebut dalam dokumen mereka.

Pertubuhan terkenal yang menyemak semula penyerahan mereka termasuk Pusat Undang-undang dan Keadilan Eropah (ECLJ), Peguam UK untuk Israel (UKLFI), Persatuan ALMA untuk Kemajuan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa, Pusat Undang-undang Israel dan Institut Keadilan

Individu berprofil tinggi, seperti Senator Republikan Amerika Syarikat (AS), Lindsey Graham, Prof Dr David Chilstein, dan peguam, Yael Vias Gvirsman, yang mewakili warga Israel, turut meminda istilah mereka selaras dengan arahan ICC.

Bangunan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Hague, Belanda. FOTO: Reuters

Mereka yang sebelum ini menggunakan ‘Palestin’ dalam penghujahan mereka, kini menggunakan ‘Negara Palestin’ mengikut arahan mahkamah, lapor agensi media Anadolu.

Pelarasan bahasa itu sejajar dengan status diplomatik yang diberikan ICC kepada Palestin.

Perhimpunan Negara-Negara Pihak ICC secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai negara anggota pada 2015, selepas ia menyerahkan penyertaannya berdasarkan Statut Rom, perjanjian pengasas mahkamah dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pengiktirafan Negara Palestin berkembang pada peringkat antarabangsa, dengan 146 negara kini secara rasmi mengakui statusnya sebagai sebuah negara.

Israel meneruskan serangannya di Semenanjung Gaza sejak serangan oleh kumpulan Hamas pada 2023 walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menggesa gencatan senjata segera.

Lebih 42,000 orang terbunuh sejak itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain lebih 97,300 yang lain cedera dalam serangan itu, lapor pihak berkuasa kesihatan tempatan. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini