RABAT: Maghribi menyeru agar perjanjian gencatan senjata di Gaza dihormati sepenuhnya dan dilaksanakan dengan tujuan membuka jalan bagi proses damai yang sebenar, termasuk penubuhan Negara Palestin berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Menurut Agensi Berita Maghribi (MAP), Raja Mohammed VI, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Al-Quds, memuji usaha untuk menghentikan keganasan yang berterusan.
Kementerian Luar Maghribi dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Maghribi menggesa semua pihak di Palestin dan Israel untuk memberi peluang kepada perdamaian, sambil menunjukkan komitmen yang tulus dan konstruktif tanpa terpengaruh oleh pertimbangan jangka pendek atau oportunistik.
Maghribi berharap perjanjian ini akan menghentikan serangan terhadap orang awam, memulihkan mereka yang kehilangan tempat tinggal, dan memastikan aliran bantuan kemanusiaan yang mencukupi.
Perjanjian gencatan senjata yang melibatkan tiga fasa dengan perantaraan Mesir, Amerika Syarikat (AS), dan Qatar dijadualkan berkuat kuasa pada 19 Januari dan bertujuan untuk menamatkan konflik yang telah berlangsung selama 15 bulan di Gaza.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.