comscore
Tumpuan :
Dunia

Maghribi mula bina loji penyulingan air laut terbesar Afrika

Putera Mahkota Maghribi, Moulay El Hassan (@M_RoyalFamily).

CASABLANCA: Putera Mahkota Maghribi, Moulay El Hassan merasmikan pembinaan loji penyulingan air laut Casablanca pada Isnin di Komun Lamharza Essahel di Wilayah El Jadida.

Loji ini akan menjadi loji terbesar seumpamanya di Afrika dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 300 juta kubik meter air (m³) dan populasi yang menerima manfaat dianggarkan seramai 7.5 juta penduduk.

Menurut Maghreb Arabe Presse (MAP), projek ini selaras dengan tumpuan dan keprihatinan yang diberikan Raja Mohammed VI terhadap isu strategik air, terutamanya dalam konteks semasa didorong hasil defisit hujan yang ketara dan permintaan tinggi terhadap sumber air konvensional di pelbagai wilayah.

Ia merupakan sebahagian daripada paksi “Menambahbaik bekalan air” menerusi Program Bekalan Air Minuman dan Pengairan Nasional 2020-2027 yang dilancarkan pada 2020 dengan kos keseluruhan sebanyak 143 bilion dirham.

Laporan tersebut menyatakan bahawa loji ini akan menangani permintaan air yang semakin meningkat di Greater Casablanca, bandar Settat, Berrechid, Bir Jdid dan kawasan sekitarnya.

Ia akan dibina dalam dua fasa di atas tapak seluas 50 hektar, memerlukan pelaburan keseluruhan sebanyak 6.5 bilion dirham yang diperoleh melalui perkongsian awam-swasta.

Fasa pertama dijadualkan beroperasi pada akhir 2026, menyasarkan kapasiti 548,000 m³ air terawat sehari (200 juta m³ setahun), yang kemudian diperluas dalam fasa kedua pada pertengahan 2028, kepada 822,000 m³ sehari, atau tambahan 100 juta m³ setahun.

Projek ini melibatkan pembinaan loji penyulingan air laut osmosis berbalik dan pemasangan sistem untuk mengangkut air minuman yang dihasilkan yang terdiri daripada tiga stesen pam, tiga tangki simpanan dan rangkaian pengedaran hampir 130 kilometer paip bekalan, menurut laporan itu.

Sistem pengangkutan air minuman memerlukan pelaburan sebanyak tiga bilion dirham yang dibiayai oleh dana awam.

Dengan kos pengeluaran air minuman dianggarkan sebanyak 4.48 DH/m³, loji itu akan dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga boleh diperbaharui, menurut laporan itu.  — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini