
RABAT: Maghribi, buat kali keempat dalam sejarah, membatalkan ibadah korban sempena Aidiladha akibat krisis kemarau yang menjejaskan ekonomi negara.
Raja Mohammed VI mengumumkan keputusan itu dan menegaskan bahawa tindakan luar biasa perlu diambil untuk mengurangkan kesan buruk kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.
Raja Mohammed VI menyatakan bahawa ibadah korban adalah sunah, tetapi hanya boleh dilaksanakan jika tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat. Beliau berkata, melaksanakan ibadah ini dalam keadaan sukar akan memberi kesan buruk kepada banyak rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah.
Keputusan ini bukan pertama kali diambil. Maghribi pernah membatalkan ibadah korban pada 1963 akibat konflik ‘Perang Pasir’ dengan Algeria, dan pada 1981 serta 1996 disebabkan kemarau teruk yang menjejaskan ternakan dan bekalan makanan.
Maghribi kini menghadapi kemarau tujuh tahun berturut-turut, dengan hujan yang lebih rendah 53% dari purata 30 tahun. Ini menyebabkan jumlah ternakan susut 38% sejak 2016, memberi kesan kepada bekalan daging tempatan. Jumlah lembu yang disembelih juga merosot dari 230,000 ekor kepada 150,000 ekor. Bekalan air di empangan negara hanya tinggal 4.6 bilion meter padu, dengan kadar pengisian hanya 28%.
Meskipun pembatalan ibadah korban, rakyat Maghribi masih berdepan dengan tekanan ekonomi yang tinggi, dengan inflasi dan harga makanan yang melambung.
Keputusan ini menimbulkan pelbagai reaksi; sesetengah pihak menganggapnya langkah bertanggungjawab, sementara yang lain merasa kesan psikologi kerana ia adalah tradisi keagamaan yang penting.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.