Tumpuan :
Dunia

Macron dijangka umum PM baharu Perancis hari ini

Presiden Perancis Emmanuel Macron. Foto: Reuters

PARIS: Pejabat Presiden Emmanuel Macron mengumumkan bahawa Perdana Menteri Perancis yang baharu akan diumumkan pada hari Jumaat, lapor agensi berita Jerman dpa.

Lebih seminggu selepas kejatuhan kerajaan tengah-kanan yang diketuai oleh Michel Barnier, Macron akan cuba mencalonkan seorang tokoh baharu, walaupun laporan media mengatakan tiada calon utama yang jelas.

Ahli politik tengah-kanan, François Bayrou, 73, sering disebut oleh pengulas politik selepas Macron berbincang dengan semua parti berkecuali kiri dan kanan untuk cuba membentuk kerajaan yang seluas mungkin.

Jika Bayrou dipilih, masih belum jelas sama ada sekutu Macron itu dapat membentuk majoriti yang mampu mentadbir dan terdapat jangkaan bahawa dia mungkin menghadapi nasib yang sama seperti bekas perunding Brexit, Barnier.

Bekas Perdana Menteri dari Parti Sosialis, Bernard Cazeneuve, juga disebut-sebut dalam media, begitu juga dengan bekas Menteri Pertahanan Sébastien Lecornu dan bekas Menteri Desentralisasi Catherine Vautrin.

Pada Rabu lalu, pihak pembangkang telah menjatuhkan Barnier selepas beliau hanya tiga bulan memegang jawatan berikutan pertikaian mengenai belanjawan penjimatan.

Macron berada di bawah tekanan ekoran kejatuhan kerajaan selepas beliau mengadakan pilihan raya mengejut tahun ini yang gagal mencapai hasil yang diinginkan.

Parti pembangkang malah telah mendesak Macron untuk meletak jawatan di tengah krisis politik dan ekonomi, dengan belanjawan 2025 masih belum diluluskan oleh parlimen. –BERNAMA-dpa

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini