Tumpuan :
Dunia

Lubnan terus dibedil Israel, lebih 31 terkorban

Serangan Israel mengenai sebuah bangunan di pinggir bandar selatan Beirut, semalam. – Foto: REUTERS

BEIRUT: Israel membedil selatan Beirut, semalam, menurut laporan media rasmi Lubnan, manakala pihak berkuasa kesihatan mengesahkan sekurang-kurang 31 terbunuh di seluruh negara ini.

Kementerian Kesihatan Lubnan dalam satu kenyataan berkata, ‘kematian itu adalah akibat serangan pihak musuh, Israel, ke atas sejumlah bandar negara ini di bahagian timur, selatan dan berhampiran Beirut dengan kebanyakan mangsa terkorban di selatan serta empat lagi di timur.’

Menurut tentera Israel dalam satu kenyataan, tengah hari semalam, pihaknya telah menyerang sekitar 25 sasaran milik kumpulan Hizbullah di seluruh Lubnan, termasuk di Nabatiyeh, Baalbek, Lembah Bekaa, selatan Beirut dan pinggir bandar berkenaan.

Kepulan asap tebal dilaporkan menyelubungi pinggir bandar selatan ibu negara ini susulan serangan dari pagi lagi selepas tentera Israel mengeluarkan amaran berturut-turut untuk evakuasi.

Agensi Berita Nasional (NNA) kendalian Kerajaan Lubnan melaporkan Israel melancarkan empat gelombang serbuan di selatan Beirut, semalam, yang menyaksikan ‘jet pejuang pihak musuh’ menyerang daerah Haret Hreik dan Shiyah.

NNA turut melaporkan Israel menyerang Tyre dan Nabatiyeh setelah memberi amaran evakuasi bagi beberapa kawasan di bandar utama bahagian selatan berkenaan.

Agensi itu juga melaporkan berlaku serangan dron yang menyasarkan sebuah kompleks kediaman di pinggir bandar Beirut tanpa sebarang amaran evakuasi terlebih dahulu.

Serangan itu menyusul selepas serbuan besar-besaran dilakukan di kawasan terbabit pada hujung minggu lalu, walaupun usaha antarabangsa terus giat dijalankan untuk mencapai gencatan senjata.

Semalam, Kementerian Pendidikan menangguhkan kelas di sekolah, institut teknikal serta institusi pengajian tinggi swasta di Beirut dan sejumlah kawasan sekitarnya, atas faktor ‘keadaan semasa yang berbahaya.’

Terdahulu, Kementerian Kesihatan melaporkan sekurang-kurang 29 maut dalam satu serangan ke atas kawasan kejiranan Basta yang berpenduduk padat di tengah Beirut pada awal pagi Sabtu lalu.

Setakat ini, peperangan yang meletus telah meragut sekurang-kurang 3,799 nyawa di Lubnan sejak Oktober tahun lalu, menurut Kementerian Kesihatan, manakala pihak berkuasa Israel pula melaporkan sekurang-kurang 82 tentera dan 47 rakyat awam mereka maut. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini