![](https://media.buletintv3.my/2023/08/8ezPfIyh-BULETIN-TV3-3.jpg)
JAKARTA: Transit Aliran Ringan (LRT) Greater Jakarta dijadual memulakan perkhidmatan kepada penumpang mulai esok dengan 18 stesen akan beroperasi.
Naib Presiden Perhubungan Awam PT KAI, Joni Martinus berkata, stesen LRT ditempatkan di lokasi strategik bermula dari kawasan perumahan hingga ke daerah perniagaan.
Beliau berkata ia bertujuan memudahkan pergerakan penumpang dari dan ke ibu kota atau wilayah lain.
Lapan belas stesen itu membabitkan Dukuh Atas, Setiabudi, Rasuna Said, Kuningan, Pancoran, Cikoko, Ciliwung, Cawang, TMII, Kampung Rambutan, Ciracas, Harjamukti, Halim, Jatibening Baru, Cikunir I, Cikunir II, Bekasi Barat, dan Jatimulya.
Memetik laporan antaranews.com, Martinus berkata, stesen LRT terdiri daripada dua jenis dengan stesen pertukaran di Cawang dan 17 stesen biasa.
Perbezaan antara stesen pertukaran dan biasa adalah dari segi bilangan laluan, lokasi stesen dan kemudahan.
Stesen pertukaran mempunyai tiga tingkat, dengan tingkat satu berfungsi sebagai dewan pelepasan dan kawasan komersial, tingkat dua sebagai kawasan platform, dan tingkat tiga sebagai kawasan komersial.
Sementara itu, stesen biasa mempunyai dua tingkat, tingkat bawah adalah kawasan pelepasan dan tingkat atas berfungsi sebagai kawasan platform.
Memandangkan Stesen Cawang ialah stesen pertukaran atau transit, penumpang yang menaiki di Stesen Harjamukti dan menuju ke Stesen Jatimulya akan boleh menukar tren di Stesen Cawang.
Stesen LRT Jabodetabek dilengkapi dengan eskalator, tangga dan lif, tandas, bilik laktasi, surau, bilik kesihatan, sistem paparan maklumat penumpang (PIDS), sistem pengumuman penumpang dan CCTV.
“Kerajaan dan KAI turut menyediakan stesen mesra Orang Kurang Upaya dengan menyediakan lif, pintu pagar, tandas mudah diakses, dan sentuhan (turapan), yang dijangka memudahkan penumpang kurang upaya menggunakan LRT,” kata Martinus. – AGENSI