![](https://media.buletintv3.my/2024/12/6J95M51Z-BULETIN-TV3-2.jpg)
LOUISIANA: Jabatan Kesihatan Louisiana semalam mengumumkan bahawa pihaknya mengesan kes pertama jangkitan H5N1 pada manusia di negeri itu.
Individu berkenaan adalah seorang penduduk dari barat daya Louisiana dan kini sedang dirawat di hospital.
Jabatan berkenaan sedang bekerjasama dengan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) bagi menyiasat kes terbabit.
Siasatan mendapati bahawa individu terbabit bersentuhan dengan burung yang sakit dan mati, disyaki dijangkiti H5N1.
H5N1 adalah jenis virus influenza yang menyebabkan penyakit pernafasan yang sangat berpotensi untuk berjangkit dan memberi kesan teruk pada burung.
Wabak virus selesema burung H5N1 yang menjejaskan burung liar dan ayam serta itik terus berlanjutan di Amerika Syarikat (AS) sejak 2022.
Sehingga 13 Disember, 60 kes jangkitan H5N1 pada manusia telah disahkan di seluruh AS dengan kebanyakan kes dikaitkan dengan pendedahan kepada unggas atau lembu tenusu yang dijangkiti.
Setakat ini, tiada penyebaran jangkitan dari manusia ke manusia yang dilaporkan berkaitan dengan kes influenza burung H5N1 di AS.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa semua negara meningkatkan pemantauan terhadap selsema burung selepas kes jangkitan pada manusia semakin bertambah.
Pengarah kesiapsiagaan dan pencegahan wabak serta pandemik WHO, Maria Van Kerkhove berkata, walaupun jumlah kes adalah kecil, jangkitan influenza burung H5N1 semakin meningkat dan dikesan merebak pada manusia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Apa yang kita perlukan secara global, di AS dan di tempat lain, ialah pemantauan kukuh terhadap haiwan: burung liar, ayam ternakan dan haiwan yang diketahui mudah dijangkiti seperti babi serta lembu tenusu, untuk lebih memahami penyebaran virus ini,” katanya.
H5N1 pertama kali muncul pada 1996, namun sejak 2020, jumlah wabak dalam kalangan burung meningkat secara mendadak, bersamaan dengan peningkatan jumlah mamalia yang dijangkiti.
Van Kerkhove berkata semua kecuali dua kes itu mempunyai sejarah terdedah kepada haiwan yang dijangkiti.
“Kami belum melihat bukti jangkitan daripada manusia kepada manusia, namun bagi setiap kes yang dikesan pada manusia, kami mahu penyiasatan terperinci dilakukan.
“Kami memerlukan usaha yang lebih untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan antara haiwan kepada spesies baru dan kepada manusia,” tambahnya.
Van Kerkhove, yang juga ketua teknikal COVID-19 WHO, menekankan kepentingan bersedia sekiranya menghadapi ancaman pandemik influenza.”
“Kita belum berada dalam keadaan itu, tetapi kita memerlukan kewaspadaan yang lebih tinggi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.