LONDON : Selang sehari menyatakan tidak mengaku kalah, Liz Truss akhirnya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri United Kingdom selepas hanya 45 hari menyusun strategi politiknya.
Perkembangan itu rentetan penyusutan kuasa politiknya susulan pembentangan belanjawan negara yang memberi kesan buruk kepada negaranya bulan lalu.
Truss dalam satu kenyataan di pekarangan Downing Street menyatakan sedar, berdasar situasi, beliau tidak mampu meneruskan mandat Parti Konservatif.
Justeru Truss memaklumkan kepada baginda Raja Charles III untuk mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai pemimpin utama negara itu.
Truss, yang menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah United Kingdom, dilihat ‘tewas’ dengan tekanan daripada ahli-ahli Parlimen Tory selepas peletakan jawatan Setiausaha Negara Suella Braverman, selain daripada kekacauan politik dalaman Parti Konservatif sendiri.
Sehubungan perkembangan mengejutkan itu, Ketua Pembangkang Parti Buruh Keir Starmer menggesa pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.