RIGA: Lithuania mengadakan pilihan raya pada Ahad untuk memilih anggota Parlimen baharu, dengan parti pemerintah Homeland Union berdepan cabaran besar mengekalkan tampuk pemerintahannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Tinjauan menunjukkan parti pembangkang Parti Demokratik Sosial berpotensi menjadi kuasa terbesar, dengan enam parti dijangka mendapat tempat di Parlimen bagi merebut 141 kerusi.
Kerajaan gabungan tiga parti semasa, di bawah pimpinan Perdana Menteri Ingrida Šimonytė, mungkin menghadapi kesukaran untuk memenangi pilihan raya kali ini.
Pilihan raya itu adalah yang kesembilan diadakan di Lithuania sejak negara itu memperoleh kemerdekaannya daripada Kesatuan Soviet pada 1991.
Negara Baltik itu kini merupakan ahli Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Kempen pilihan raya kali ini memberi tumpuan terutamanya kepada isu-isu dasar domestik dan sosial di bawah bayangan perang Rusia di Ukraine.
Mengikut sistem pilihan raya Lithuania, 70 kerusi dalam Seimas diperuntukkan melalui perwakilan berkadar, manakala 71 kerusi lagi mewakili kawasan pilihan raya satu anggota, yang memerlukan pilihan raya pusingan kedua dua minggu kemudian jika tiada parti memenangi majoriti.
— BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.