PALESTIN: Pintu sempadan Rafah masih belum dibuka.
Menurut warga Malaysia yang berada di Gaza, Nurul Ain Haron, berita pembukaan pintu sempadan Rafah adalah harapan palsu.
Sebelum ini media antarabangsa melaporkan pintu sempadan Rafah di selatan Gaza-Mesir mula dibuka bagi membenarkan konvoi kemanusiaan memasuki Gaza jam 9 pagi waktu tempatan semalam.
Difahamkan, pihak berkuasa di pintu sempadan itu belum menerima apa-apa arahan.
Menurut Ain, 37 tahun, ekoran daripada berita itu, ramai penduduk mula berkumpul di depan pintu sempadan, namun penantian mereka hanya sia-sia.
Ain turut berkongsi keadaan di sana ketika ini yang diibaratkan seperti dalam penjara selepas Israel bertindak menyekat semua kemudahan asas.
Serangan juga masih berlanjutan sehinggakan kawasan berdekatan sempadan Rafah turut menerima serangan.
Lebih buruk, majoriti kedai runcit sudah mula kehabisan stok makanan dan mereka hanya bergantung kepada bekalan sedia ada.
Dia bersama suaminya Mohamed Adnan Shaat, 33 tahun, warga Palestin tetap memberanikan diri keluar rumah untuk menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas.