Tumpuan :
Dunia

Libya mohon bantuan antarabangsa selepas negara dilanda banjir besar

Suasana selepas banjir besar melanda Al-Mukhaili, Libya menyebabkan banjir lumpur. – Foto REUTERS

TRIPOLI: Libya memohon bantuan antarabangsa selepas banjir besar yang melanda negaranya meragut lebih 2,000 nyawa selain ramai lagi dikhuatiri masih hilang.

Ketua Majlis Presiden Libya, Mohamed Menfi berkata, bandar di timur, Derna, Al-Bayda dan Shahhat adalah antara yang paling teruk terjejas dan beliau menggesa penduduk setempat mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengatasi krisis yang dihadapi.

“Kami memohon bantuan negara rakan dan pertubuhan antarabangsa untuk menyokong usaha kami di kawasan dilanda bencana,” katanya dalam satu kenyataan.

Ribut Mediterranean, Daniel, yang melanda timur Libya pada Ahad menyebabkan banjir besar yang memusnahkan apa saja dalam laluannya.

Menurut Perdana Menteri Libya, Osama Hammad, lebih 2,000 orang maut di wilayah timur dan ribuan lagi masih hilang.

Jurucakap pentadbiran yang berpangkalan di Benghazi, Libya, Mohamed Massoud, berkata kebanyakan mangsa terperangkap akibat banjir dan hujan lebat dibawa ribut Daniel di Derna, wilayah Jabal al-Akhdar dan pinggir bandar Al-Marj.

“Angka itu tidak termasuk kerosakan besar-besaran yang melanda harta benda awam dan swasta,” tambahnya.

Kerajaan Hamad, yang menentang pentadbiran peralihan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) diiktiraf di peringkat antarabangsa di Tripoli, mengisytiharkan Derna sebagai ‘kawasan bencana’.

Pakar menyifatkan ribut Daniel yang turut melanda sebahagian Greece, Turkiye dan Bulgaria sejak beberapa hari kebelakangan ini, sebagai ‘cuaca melampau’ dari segi jumlah air hujan yang diterima dalam tempoh 24 jam.

Ribut itu melanda timur Libya petang semalam, terutamanya bandar pantai Jabal al-Akhdar selain Benghazi, di mana perintah berkurung diisytiharkan dan sekolah ditutup selama beberapa hari. – AGENSI

Loading...
Terkini