BUENOS AIRES: Bekas anggota kumpulan pop One Direction, Liam Payne, 31, ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat tiga di sebuah hotel di Beunos Aires, kelmarin, dilaporkan bergelut dengan masalah kesihatan mental dan ketagih alkohol.
Mengikut laporan People, Payne pernah bersuara mengenai penyakit kesihatan mental dan ketagihan alkohol ketika bergelut dengan tekanan kemasyhuran.
“Ia sukar apabila anda mempunyai tahap kemasyhuran seperti One Direction.
“Ramai hadapi masalah kesihatan mental, tetapi tidak mendapat bantuan sewajarnya. Ia perkara sama berlaku sejak 1970-an. Anda tahu apakah perangkap itu?
“Jika bernasib baik, dapatlah keluar perangkap dan kembali kepada rasa normal,” katanya seperti dilaporkan pada 2019.
Payne pernah membandingkan dirinya naik ke atas pentas dengan pelakon watak Walt Disney mengatakan ia seperti ‘memakai kostum Disney’.
Dalam episod 2021, podcast The Diary of a CEO, Payne berkata, dia pernah terfikir mahu menamatkan riwayat hidup ketika bersama One Direction.
“Di manakah titik terendah untuk saya? Tiada siapa pernah melihatnya kerana saya pandai menyembunyikannya.
“Ada beberapa perkara yang saya pasti tidak pernah bercakap mengenainya, ia benar-benar sangat teruk. Saya sedar perlu memperbaiki diri,” katanya.
Pada Julai 2023, Payne menghabiskan hampir 100 hari di rehab pemulihan di Louisiana.
“Saya hanya perlu meluangkan sedikit masa untuk diri sendiri. Ini kerana saya sudah menjadi seseorang yang tidak saya kenali lagi.
“Saya berada dalam keadaan buruk. Saya benar-benar gembira untuk meletakkan penghalang kepada kehidupan dan kerja,” katanya seronok berada di luar grid kerana membantu memberi tumpuan kepada pemulihan.
Terdahulu, peminat berkumpul di lokasi kejadian ketika pasukan perubatan berusaha menyelamatkan Payne, lapor agensi.
Jurucakap polis Buenos Aires dilapor mengesahkan berita kematian Payne.
“Payne, komposer dan gitaris, juga bekas anggota One Direction meninggal dunia hari ini, selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan SAME, Alberto Crescenti memberitahu sebuah stesen televisyen (TV) tempatan Payne mengalami kecederaan serius dengan tiada kemungkinan prosedur kecemasan dapat dilakukan terhadap mendiang.
Crescenti berkata, petugas kecemasan bergegas ke lokasi kejadian di Palermo, sebaik mendapat panggilan telefon pada jam 5.04 petang, waktu tempatan.
“Pasukan petugas tiba tujuh minit kemudian dan mengesahkan kematian Payne yang selepas itu dikenal pasti sebagai seorang penyanyi,” katanya.
Payne dilapor mengalami keretakan pada tengkorak akibat terjatuh dari tingkat tiga hotel berkenaan, pada ketinggian antara 13 meter hingga 14 meter.
One Direction mula mencipta nama pada 2010 apabila sekumpulan remaja iaitu Payne, Niall Horan, Harry Styles, Louis Tomlinson dan Zayn Malik muncul dalam program realiti British, The X Factor.
Pada 2016, anggota One Direction mengumumkan masing-masing mahu meneruskan karier secara individu, namun tidak berpecah.
Pada tahun sama, Payne menerbitkan album solo mengikut jejak anggota band lain.
Pada 2 Oktober lalu, Payne menghadiri konsert Horan di Buenos Aires, lapor majalah Billboard. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.